Categories

Archives

Setulus Bicara GB

 

 

 

 

 

 

 

 

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana mengurniakan kesihatan dan kudrat kepada kita semua untuk sama-sama menyambung tugas sebagai seorang guru demi meneruskan kelangsungan pendidikan pada tahun 2012. Semua guru merupakan pengendali-pengendali kilang yang menjana semua murid supaya menjadi warga yang cemerlang dan baik pada suatu masa nanti. Dengan lain perkataan, sekolah adalah kilang memanusiakan manusia supaya kita dapat melihat suatu generasi yang boleh memberi makna kepada negara pada keseluruhannya. Tanggungjawab dan kejayaan ini memang terletak seratus peratus di atas bahu kita untuk sama-sama kita berperanan dengan peranan-peranan yang pelbagai yang diberikan kepada kita untuk kita olah dan menuju kepada suatu matlamat yang sama iaitu mencipta suatu kejayaan yang gemilang. Oleh itu marilah kita berganding tangan bersama-sama sebagai suatu keluarga yang besar untuk bekerja dengan penuh tenaga dan semangat dan akhirnya akan memberi suatu kepuasan yang tidak terhingga.

Apabila kita menapak ke hadapan seboleh-bolehnya kita juga menoleh ke belakang untuk mengambil iktibar kerana kita sekarang berada dalam zon selesa. Saya berharap semua guru tidak berhenti di sini dan terus mengorak langkah ke arah kejayaan di masa hadapan. Dengan sedikit inovasi kepada sistem yang sedia ada dan yang telah dan sedang diamalkan insyallah kejayaan menanti kita. Apa yang perlu adalah iltizam yang jitu untuk berpadu tenaga sebagai satu pasukan yang mantap dan terbaik di samping itu, amalan budaya kerja berprestasi tinggi dan berkualiti . Sokongan dan kerjasama tuan puan haruslah diteruskan dan dilipat gandakan untuk terus kekal di tahap yang terbaik pada tahun ini dan tahun-tahun hadapan.

Saya yakin dan percaya bahawa tuan puan mampu melaksanakan tugas mendidik yang mencabar ini dengan penuh dedikasi. Kepercayaan para ibu bapa begitu tinggi terhadap kita dan usahlah kita merosakkan kepercayaan yang telah diberi ini. Semoga kehadiran tahun 2012 akan lebih menyerlahkan potensi kita semua sebagai pemangkin kepada kecemerlangan anak-anak didik kita. Marilah kita merealisasikan misi dan visi sekolah dan memikul tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan di bahu kita masing-masing bagi melahirkan murid-murid yang cemerlang, gemilang dan terbilang serta mulia peribadi dan akhlaknya.

Sekian, terima kasih.

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

“TIADA HASIL KECUALI KECEMERLANGAN


Hjh Napisah bt Shaari

Guru Besar

SK Seri Besout , Sungkai Perak.